Saturday, May 23, 2009

BELUT

bila tulis tentang lintah ni ingat polak pasei
belu yg jadik makanan dier tuh...

Kita pon makan gak belut nih...ader org kater
kena gi tumpat kelantan kalooo nak terai..

tapi kat pahang..kat jln sg lembing pon adela...


Kedai Makan Belut....:-)
Oleh ZAITIE SATIBI
am@hmetro.com.my

MASAKAN berasaskan belut mungkin masih dianggap
pelik di kalangan masyarakat negara ini, malah
ada juga yang ‘geli’ dengannya, namun bagi sesetengah
orang ia dianggap juadah yang menyelerakan.

Kedai makan Warung Kak Yah di Jalan Sungai Lembing,
Kuantan, Pahang, popular di kalangan masyarakat
setempat dengan pelbagai jenis masakan berasaskan
belut sama ada berkuah, rebus, goreng dan panggang
yang menjadi sajian utamanya.

Warung Kak Yah yang diusahakan Mek Kiah Ismail, 51,
mendapat perhatian peminat belut berikutan kedai
berkenaan satu-satunya menyediakan belut kampung
asli yang disaji mengikut resipi masakan kampung
dan Thailand.

Antara masakan yang sering mendapat sambutan pelanggan
di warung milik wanita gigih dari Kota Bharu, Kelantan
itu ialah sup belut, tom yam belut, belut goreng kunyit,
paprik belut dan belut panggang.


Menurut Mek Kiah, belut digemari sesetengah orang
kerana bukan saja lazat, malah mengandungi kadar protein
tinggi.

Katanya, menyediakan masakan belut sebenarnya mudah
asalkan tahu rahsia ‘mengolah’nya kerana rasanya yang
asli menjadikan belut mudah dikombinasikan dengan
aneka bumbu dan makanan lain.

“Ramai geli dengan belut kerana fizikal haiwan ini
yang licin, selain habitatnya di kawasan berlumpur
dalam sawah dan paya. Namun mereka tidak menyedari
sebenarnya belut memang sedap untuk dijadikan masakan
apapun.

“Dengan kandungan gizi yang tinggi, tidak hairan
jika semakin ramai orang menggemari masakan berasaskan
belut,” katanya yang berniaga sejak 10 tahun lalu.

Mek Kiah berkata, dia juga hanya menyediakan belut
kampung yang boleh dibezakan melalui belang hitam
atau kuning di bawah perut haiwan itu.

Katanya, bekalan belut diperoleh daripada seorang
penangkap belut sawah dari Pekan yang diambil
setiap tiga hari bagi memastikan ia kekal segar
untuk dihidangkan kepada pelanggan.

“Belut termasuk dalam kategori ikan berbentuk panjang
dengan kepala bulat dan berinsang. Sungguhpun
ramai tidak sudi makan belut, tetapi hidupan air
tawar ini juga ada ramai peminatnya tersendiri.

“Ini kerana, belut mempunyai nilai tinggi apabila
khasiatnya dikatakan setanding ikan tenggiri dan
selar yang mengandungi banyak protein,” katanya.

Mek Kiah mendakwa, spesies ikan ini jika diamalkan
memakannya selalu boleh menguatkan daya tahan badan,
menstabilkan tekanan darah, menghaluskan kulit,
mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan
dan membantu mencegah hepatitis.

“Ini kerana belut juga kaya dengan lemak, kalsium,
vitamin B, vitamin D dan zat besi. Jadi, tidak hairan
ramai percaya belut boleh membantu mengubati penyakit
seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh,
lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan,” katanya.

Juadah belut yang disediakan Mek Kiah dijual pada
harga berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM8 setiap
masakan. Selain belut, wanita ini menyediakan aneka
masakan kampung asli yang pasti menggamit selera pelanggan.

Kedai makan itu beroperasi dari jam 4 pagi hingga 1 pagi
yang menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam.
Bagaimanapun, ruang kedai yang mampu memuatkan kapasiti
100 orang pada satu masa menjadi tumpuan menjelang tengah hari.

Ini kerana, selain lokasi strategik di tepi jalan utama
dari pekan Sungai Lembing ke pusat bandar, ia menjadi
perhentian rehat dan rawat oleh pengguna yang datang
dari arah Lebuh raya Pantai Timur (LPT) Tol Kuantan.


Resipi Belut Goreng Kunyit

Bahan:
Belut (dipotong kecil)
2 biji bawang besar (dimayang bulat)
8 tangkai kacang panjang (dipotong panjang)
2 tangkai lada merah hidup (dipotong menyerong)
1 cawan minyak masak
2 sudu serbuk kunyit
Garam dan serbuk perasa


Cara membuatnya:

Belut yang sudah dipotong dilumur dengan serbuk
kunyit dan digoreng garing. Selepas garing, angkat
dan asing dalam pinggan lain.

Buang separuh minyak di dalam kuali. Tumiskan pula
bawang merah, cili hidup dan kacang panjang. Tambah
garam dan serbuk perasa sesedap rasa. Pastikan bahan
tumisan tidak terlalu lembik.

Akhir sekali, masukkan belut yang digoreng tadi dan
kacau semuanya hingga rata serta boleh dihias dengan
daun sup atau bawang goreng.


Harga masakan berasaskan belut:
Ditentukan mengikut jenis masakan dan kuantiti antara
RM7—RM8

Waktu operasi:
4 pagi hingga 1 pagi setiap hari

Alamat:
Kampung Padang,
Jalan Sungai Lembing,
Kuantan (bersebelahan kilang papan)


p/s : nak bagitau aje nih...kolestrol dier tinggi tuuu...
kandungan lemak lagik.....errrrkkkk yg ada penyakit dah tu
nak makan bukan takbley kena ingqt ingat skek yakkkk...

No comments:

Post a Comment

Followers