Saturday, May 23, 2009

LUMAYAN KE TAK BELA LINTAH?TENGOK PROSPEK DIE NI

Penternakan Lintah Mampu Bawa Pulangan Lumayan: Pakar
March 25, 2008 15:39 PM
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Usaha menternak lintah
secara komersil untuk tujuan perubatan masih belum dieksploitasi sepenuhnya
di negara ini, walau pun ia berpotensi menjana pendapatan baru, kata seorang penyelidik haiwan itu.

Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu
Dr Zaleha Kassim berkata peluang seperti itu perlu direbut kerana kerajaan
melalui Yayasan Tekun Nasional (Tekun) di bawah program Tekun Rakan Niaga
dan Bank Pertanian bersedia membantu mereka yang berminat menceburi industri
itu.

“Walau pun ramai orang tidak senang mendengar perkataan lintah atau pun untuk mendekatinya, penternakan haiwan dari kelompok filum Annelida dalam subkelas Hirudinea itu sebenarnya mampu membawa pulangan yang lumayan jika diusahakan
secara komersil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bayangkan pulangan yang boleh didapati dengan harga ladang seekor lintah
induk boleh mencecah RM1.80-RM2 manakala harga seekor anak lintah pula
diantara RM0.50 hingga RM1 seekor, katanya.

Dr Zaleha berkata minat untuk menternak lintah secara komersil mula timbul
di negara ini sejak dua tahun lepas berikutan wujud permintaan terhadap
haiwan itu apabila beberapa syarikat mengusahakan perniagaan perubatan
berasaskan lintah.

Sebelum ini, permintaan terhadap haiwan itu adalah kecil walaupun bidang
perubatan berasaskan lintah telah wujud sejak 20 tahun lepas apabila
pengamal perubatan tradisional menggunakan haiwan itu bagi rawatan
berkaitan kesihatan seksual lelaki di kaki lima kedai.

Katanya lintah telah lama digunakan dalam rawatan kesihatan di negara
ini yang menyaksikan haiwan itu diadun dengan santan kelapa bagi mendapatkan minyaknya yang digunakan untuk kesihatan seksual lelaki selain membaik
pulih tisu dan memperkuatkan otot.

“Penternakan lintah ada potensi yang baik cuma tidak dieksploitasi
memandangkan harga pasaran pun baik dan penternakannya mudah dikendalikan,”
katanya.

Dr Zaleha menjelaskan bahawa di negara-negara Barat seperti Britain, Jerman
dan Rusia di mana lintah dipelihara untuk tujuan khusus, hasil penyelidikan
yang lama telah membolehkan lintah digunakan dalam perubatan moden dan
berjaya menghasilkan produk siap seperti pil berkaitan sakit jantung yang
dipasarkan kepada umum.

“Di sana, lintah juga turut diternak di hospital untuk tujuan perubatan
terutama bagi masalah kesihatan berkaitan bahagian yang sensitif seperti
bahagian kepala, belakang mata atau telinga yang memerlukan pembedahan,
lintah hidup digunakan untuk menghisap darah pesakit dan kemudiannya darah
itu dikeluarkan untuk dianalisis mengenai penyakit yang mungkin dihidapi
oleh pesakit itu,” katanya.

“Di negara Barat, nilai perubatan berasaskan lintah sudah dipatenkan dan dikomersilkan , tetapi di Malaysia kita belum lagi sampai ke tahap itu…
sebab itu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang luas diperlukan,”
kata Dr Zaleha yang sudah dua tahun membuat penyelidikan mengenai lintah.
Katanya kini terdapat kira-kira tiga atau empat syarikat yang terlibat
dalam mengeluarkan minyak berasaskan lintah untuk tujuan kesihatan.

“Jika diusahakan dengan lebih serius, kita boleh membangunkan industri hiliran berasaskan lintah dan membawa penternakan lintah maju ke depan yang boleh
membantu dari segi pendapatan sampingan mahu pun sumber pendapatan baru,”
katanya.

Khasiat kesihatan dalam lintah terdapat pada apa yang dipanggil “Hirudin”, sejenis protein yang berfungsi menghalang pembekuan darah, yang terdapat dalam air liur lintah.

Dr Zaleha berkata penternakan lintah amat mudah dikendalikan dengan jagaan
minimum seperti memelihara ikan dalam akuarium, sama ada di luar bangunan
(kolam konkrit atau kolam tanah) atau dalam bangunan (tangki gelas serat,
tangki akuarium atau tangki lain yang sesuai) yang didapati lebih mudah.

Makanannya pula adalah darah mamalia seperti darah daging lembu atau
kambing yang diberikan setiap seminggu atau setiap dua minggu dan biasanya
ia cepat membiak melalui sumber makanan ini, kata Dr Zaleha.

Katanya lintah yang hidup dan diternak di Malaysia mungkin tidak sama
dengan yang terdapat di negara Barat dan kajian setakat ini menunjukkan
terdapat enam jenis lintah di Malaysia.

Anak lintah yang boleh dijual biasanya berumur dua hingga tiga bulan manakala
lintah induk pula enam bulan ke atas.

Dr Zaleha juga berkata bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan
untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara
China, Thailand dan kini di Korea Selatan.

“Krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan kulit
dan membaiki parut,” katanya.

Memandangkan minat yang semakin meningkat, Dr Zaleha berkata beliau kini
dijemput memberikan ceramah dalam kursus ternakan lintah secara komersil di
beberapa buah negeri seperti Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.

Katanya beliau diberitahu kini ada syarikat Malaysia yang terlibat dengan
perniagaan lintah telah mendapat permintaan dari luar negara tetapi jika
dihantar lintah hidup ia perlu dipastikan spesisnya dan validasi kesihatan
lintah selaras dengan keperluan dan peraturan negara pengimport.

No comments:

Post a Comment

Followers